Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

28 Rumah Terbakar di Kampung Gok Kapur

By 4 jam yang laluTiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)

KOTA BHARU, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 28 buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran besar di Kampung Gok Kapur, di sini kelmarin.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba Kota Bharu tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Operasi pemadaman berdepan cabaran susulan kedudukan rumah yang terlalu rapat antara dua hingga lima meter, selain sekitar 90 peratus struktur rumah diperbuat daripada kayu serta faktor angin yang memudahkan api merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata operasi itu membabitkan 55 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjung, Kota Darul Naim dan Pangkalan Chepa, selain empat jentera, dua lori tangki air serta bantuan pasukan bomba sukarela, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba, lori tangki dan Sungai Kelantan.

Operasi katanya turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kota Jembal dan Pangkalan Chepa dengan kekuatan 10 anggota.

“Kesemua 108 mangsa terlibat selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda