Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Kesihatan Wanita Tingkat Kesedaran Tentang Saringan Awal

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Pengesanan awal penyakit dalam kalangan wanita diberi penekanan menerusi Program Kesihatan Wanita yang menawarkan pelbagai saringan kesihatan dan pemeriksaan asas di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, di sini hari ini.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Pendang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Pendang serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) itu menghimpunkan peserta wanita daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan di daerah ini.

Pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Pendang Dr. Noor Sheila Radzuan berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu peserta mengetahui tahap kesihatan semasa mereka, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.

“Program seperti ini juga dapat memberi pendedahan mengenai amalan gaya hidup sihat, kepentingan pengesanan awal penyakit serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita, selain menggalakkan amalan pemeriksaan berkala bagi memastikan sebarang masalah kesihatan dapat dikenal pasti dan ditangani pada peringkat awal.

Bagi melengkapkan pengisian program, pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan turut disediakan termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula dalam darah, saringan kolesterol, saringan HIV serta sesi kaunseling kesihatan.

Antara yang mengambil bahagian ialah kakitangan Majlis Daerah Pendang, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Hospital Pendang, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang serta ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Pendang.

-FN

Tinggalkan komen anda