Skip to main content
Rencana & Pendapat

SSTWPK Pelihara Warisan Silat Seni Tari Pantai Kundur

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)

KOTA BHARU, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Di sebuah gelanggang di Pantai Kundur, dentingan langkah dan gerak tari silat terus menghidupkan warisan seni Melayu yang diwarisi turun-temurun melalui Silat Seni Tari Warisan Pantai Kundur (SSTWPK), yang kini menjadi medan pembentukan disiplin dan jati diri generasi muda.

Gabungan dua generasi ketika sesi latihan silat perkukuh usaha SSTWPK kekal warisan seni pertahanan diri Melayu, silat.

Warisan ini berakar daripada sejarah pendekar Zainal Abidin, seorang hulubalang Raja Kelantan pada era Raja Long Kundur yang kini dipelihara secara berterusan oleh generasi keturunan ke-7.

SSTWPK yang ditubuhkan pada Oktober 2024 itu terus berkembang dengan penyertaan masyarakat setempat serta dari luar jajahan menerusi siri latihan berstruktur yang diadakan secara berterusan di gelanggang berkenaan.

Pengerusi SSTWPK Shafien Mamat berkata silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, sebaliknya menjadi wadah pembentukan akhlak, adab dan penghubung antara generasi tua dan muda.

“Silat ini penting kerana ia menghubungkan orang tua dan orang muda. Biasanya guru adalah orang tua dan pelajar ialah orang muda, di situlah terjalin rasa kasih sayang, yang tua dihormati dan yang muda dikasihi.

Pengerusi SSTWPK Shafien Mamat (tengah, berbaju oren) memantau peserta membuat latihan.

“Silat juga separuh daripada Melayu itu sendiri dan menjadi saluran dakwah dalam Islam,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga guru seni pertahanan diri itu menegaskan melalui silat, generasi muda bukan sahaja belajar mempertahankan diri, malah dibentuk menjadi individu yang berdisiplin, beradab dan berakhlak dalam kehidupan seharian.

Orang ramai digalakkan menyertai SSTWPK sebagai usaha berterusan dalam memartabatkan seni silat Melayu sebagai warisan bernilai tinggi yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

-FN

Tinggalkan komen anda