Skip to main content
Rencana & Pendapat

Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra Mercu Tanda Kebanggaan Gua Musang

By 7 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noziryati Yusoff@Ibrahim (Gua Musang)

GUA MUSANG, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Berdiri megah di laluan utama yang menghubungkan Kelantan dan Kuala Lumpur, Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, di sini bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, malah menjadi antara mercu tanda yang cukup sinonim dengan jajahan Gua Musang.

Bagi para musafir dan pelancong yang melalui laluan Pantai Timur, kelibat kubah besar dan menara tinggi masjid ini sering menjadi penanda bahawa mereka telah tiba di Gua Musang atau sedang meneruskan perjalanan merentasi jajahan tersebut.

Masjid yang dibina pada 1988 dan siap sepenuhnya pada 1991 itu menelan kos melebihi RM2.7 juta menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Ia dirasmikan oleh Sultan Kelantan ke-28, Almarhum Sultan Ismail Petra pada 1995 sebelum diiktiraf sebagai Masjid Jajahan Gua Musang pada 1999.

Menurut Imam Tua, Othman Saufi, masjid berkenaan menjadi lokasi persinggahan utama para musafir yang melalui kawasan tersebut untuk berehat, menunaikan solat dan menyegarkan diri sebelum meneruskan perjalanan.

“Pelbagai kemudahan disediakan bagi memastikan keselesaan jemaah, termasuk kawasan parkir yang luas, tandas bersih, tempat wuduk yang selesa, wakaf rehat, kedai makan, kedai runcit, bank makanan serta stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV),” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Keindahan seni binanya yang berinspirasikan Timur Tengah turut menjadi daya tarikan tersendiri.

Gabungan kubah besar, menara tinggi dan panel kaca yang luas mewujudkan suasana tenang serta mendamaikan, sekali gus memberikan pengalaman yang menyenangkan kepada setiap pengunjung.

Selain berperanan sebagai pusat ibadah, masjid ini turut menjadi nadi komuniti setempat menerusi penganjuran kuliah agama, ceramah dan pelbagai program kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.

Dikelilingi panorama bukit batu kapur yang menjadi identiti Gua Musang, Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra terus berdiri sebagai lambang perkembangan syiar Islam dan kemajuan masyarakat setempat, selain menjadi destinasi persinggahan yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran musafir dari segenap arah.

-FN

Tinggalkan komen anda