
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
AYER KEROH, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Jenayah kewangan dan penipuan dalam talian merupakan ancaman paling membimbangkan seiring berkembangnya kemajuan teknologi masa kini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata jenayah itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar, malah turut menjejaskan kesejahteraan hidup, kestabilan emosi serta keyakinan masyarakat terhadap ekosistem digital negara.
“Apa yang lebih membimbangkan, mangsa jenayah ini tidak lagi tertumpu kepada golongan tertentu, sebaliknya, ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur, tahap pendidikan, latar belakang kerjaya mahupun status sosial.
“Justeru, pendekatan penguatkuasaan semata-mata adalah tidak memadai, kita perlu bergerak secara lebih proaktif melalui pendidikan, pencegahan dan pemerkasaan kesedaran awam sebagai benteng utama dalam melindungi rakyat daripada menjadimangsa jenayah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pelaksanaan Kempen Kesedaran Jenayah Kewangan (Scammer) Negeri Melaka 2026, di sini semalam.
Beliau berkata pelaksanaan bengkel itu adalah inisiatif tepat dan strategik kerana selain dapat menilai keberkesanan kempen yang dilaksanakan sebelum ini, ia turut membuka ruang percambahan idea baharu ketika berdepan cabaran keselamatan siber.
-FN




