Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ritual Ponu Papao Terus Dipelihara Walaupun Berubah Mengikut Zaman

By 38 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Mohamad Ilham Joni (Bau)

BAU, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Warisan ritual Ponu Papao masyarakat Bidayuh Singai yang semakin mengalami perubahan mengikut arus pemodenan terus dipelihara apabila ia diketengahkan semula menerusi Karnival Kebudayaan Singai, di sini kelmarin.

Acara doa tradisi Bidayuh sebelum pelepasan perarakan Ponu Papao .

Karnival Kebudayaan Singai dan perarakan Ponu Papao yang diadakan bersempena sambutan Gawai Pinonguh menjadi platform bagi memaparkan semula warisan budaya masyarakat Bidayuh Singai kepada generasi hari ini dalam bentuk penganjuran kebudayaan.

Gawai Pinonguh menandakan berakhirnya musim menuai padi serta kitaran ritual gawai yang dilaksanakan sepanjang musim penanaman dan penuaian.

Ia turut melambangkan penghantaran pulang atau piratas Saya dan Ngoma, iaitu entiti spiritual yang dipercayai turun dari bintang Sikora untuk membantu masyarakat Bidayuh sepanjang musim pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata walaupun sebahagian amalan ritual tradisional tidak lagi dapat diteruskan dalam bentuk asal, usaha memelihara identiti budaya dan warisan nenek moyang tetap diteruskan melalui penganjuran karnival tersebut.

“Usaha memelihara identiti budaya dan warisan nenek moyang tetap diteruskan melalui penganjuran Karnival Kebudayaan Singai yang menjadi wadah memperkukuh penghargaan terhadap adat resam serta budaya masyarakat tempatan,” katanya pada program tersebut, kelmarin.

Acara doa tradisi Bidayuh sebelum pelepasan perarakan Ponu Papao bersempena sambutan Gawai Pinonguh Singai.

Beliau berkata perarakan Ponu Papao bukan sahaja mempamerkan budaya dan asal-usul masyarakat Bidayuh kepada orang ramai, malah mengimbau kembali sejarah serta amalan tradisi yang menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti terdahulu.

“Sebagai anak tempatan Singai, saya amat berbangga dengan penganjuran perarakan ini kerana ia membuktikan masyarakat Bidayuh masih berusaha mengekalkan tradisi yang sarat dengan nilai sejarah, budaya dan simbolik kehidupan,” katanya.

Pada masa lalu, Ponu Papao dilaksanakan sebagai ritual pemulihan komuniti ketika kampung berhadapan dengan musibah, kegagalan tuaian atau gangguan terhadap keamanan sosial.

Ritual itu dipercayai mampu memulihkan keseimbangan antara manusia, alam dan dunia spiritual serta membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Kini, warisan tersebut terus dipelihara melalui pendekatan kebudayaan yang mengetengahkan semula amalan tradisi dalam bentuk persembahan dan penganjuran karnival.

Penganjuran Karnival Kebudayaan Singai dan perarakan Ponu Papao membuktikan bahawa warisan budaya masyarakat Bidayuh Singai terus kekal relevan walaupun mengalami perubahan bentuk, selain menjadi medium penyampaian sejarah dan identiti komuniti kepada generasi akan datang.

-FN

Tinggalkan komen anda