
Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)/Facebook Wong Kah Woh
TAIPING, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak lima buah negara telah menyertai Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 yang berlangsung di Dataran Warisan Taiping, di sini kelmarin.
Malaysia menghantar tujuh pasukan manakala Indonesia, Jepun, Hong Kong dan Filipina masing-masing menghantar satu pasukan penyertaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata festival itu bukan sahaja menonjolkan bakat muzik belia, tetapi menjadi platform pertukaran budaya, memperkukuh hubungan antarabangsa dan menyemarakkan sektor pelancongan tempatan.

Sesi bergambar sejurus selesai festival itu berlangsung.
“Melihat kepada pemuzik-pemuzik muda dari pelbagai negara berkumpul di sini, ia sekali gus memberi inspirasi kepada kita.
“Alunan muzik yang didendangkan serta semangat anak muda yang pada hari ini bukan sekadar persembahan, ia merupakan gabungan antara ekspresi persahabatan, harapan dan perpaduan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh, Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama (LMS) Dato’ Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razalli dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee.
-RI





