Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Hari Kesihatan dan Jualan Rahmah Tarik Kehadiran Penduduk

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Aminah/R.B. Gomes (Kinta)

IPOH, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Program Hari Kesihatan yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Cempaka, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan serta kemudahan komuniti.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Negeri Canning Jenny Choy Tsi Jen, berkata kehadiran masyarakat yang memberangsangkan membuktikan tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri, keluarga dan komuniti.

“Program seumpama ini bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, malah memberi pendedahan mengenai kemahiran asas menyelamatkan nyawa melalui latihan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) dan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

“Saya menggesa masyarakat supaya terus mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta sentiasa menjaga kesejahteraan fizikal dan mental,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Lee Ah Moi, 68, berkata program tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat kerana pelbagai perkhidmatan dapat diperoleh dalam satu lokasi.

Pengunjung yang terdiri daripada warga emas pelbagai kaum turut hadir bagi menerima perkhidmatan saringan kesihatan.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh Wong Chee Keong, 72, yang menyifatkan demonstrasi AED dan CPR sebagai pendedahan yang sangat berguna kerana ia membantu orang ramai bertindak dengan lebih yakin apabila berdepan situasi kecemasan.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian lain termasuk Jualan Rahmah, Jualan Rakyat, kaunter bayaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pameran agensi, saringan kesihatan, pemeriksaan mata serta pemberian bingkai cermin mata percuma kepada penerima yang layak.

Turut diadakan sesi perkongsian kesihatan oleh Pakar Bedah Ortopedik Dr. Choo Ch’ng Hwei (William) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bantuan kecemasan awal dan penjagaan kesihatan tulang.

Usaha bersepadu yang menghimpunkan pelbagai agensi dan komuniti ini jelas mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda