
Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)
SIBU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Festival Gendang Melayu Sarawak 2026 yang berlangsung sempena “What ABout Kuching” (WAK) Festival Sibu 2026 berjaya mengetengahkan keunikan warisan seni budaya tempatan di Sibu Heritage Centre, semalam.
Program tiga hari itu menjadi platform penting dalam memelihara serta mempromosikan seni warisan Melayu Sarawak kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Tumpuan utama festival terarah kepada pertandingan seni bermukun yang menyaksikan penyertaan beberapa kumpulan terkemuka termasuk Kumpulan Jubaidah, Kumpulan Wareh Melanau dan Kumpulan Gema Cendana.
Selain itu, festival turut dimeriahkan dengan acara Seh Gendang Wanita serta Pertandingan Bertandak yang dibahagikan kepada Kategori Lelaki Dewasa dan Kategori Kanak-kanak.
Pengasas WAK Festival Marina Foo berkata kejayaan para pemenang bukan sekadar di peringkat festival tersebut, malah menjadi tiket untuk bersaing di pentas yang lebih besar.
“Setiap juara bagi setiap kategori secara rasminya akan mewakili Zon Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit ke pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung sempena WAK Festival Kuching 2026 pada November depan bersempena Sarawak Regata 2026,” katanya.
Marina menambah penganjuran festival seperti itu bukan sahaja memartabatkan seni budaya tradisional, malah membuka ruang kepada bakat baharu untuk terus berkembang dan dikenali di peringkat negeri.
-RJ-





