Skip to main content
Berita TempatanSabah

Legasi Kopi Daun Kampung Takis Bertahan Lebih 40 Tahun

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shukri Ag Sarudin/Petrick Benedict (Papar)

PAPAR, 16 Jun (MalaysiaAktif)-Perusahaan kopi daun tradisional Kampung Takis berjaya bertahan lebih empat dekad lamanya apabila yang kini diusahakan oleh generasi kedua pengasasnya Siow Lon Kai.

Diasaskan sekitar tahun 1985, perusahaan itu bermula secara kecil-kecilan dengan jenama Kopi Cap Daun Tong Fong yang dihasilkan menggunakan kaedah pemanggangan tradisional bagi memenuhi citarasa pelanggan dan mencapai kualiti ditetapkan.

Pengurus syarikat, Siow Che Yang berkata meskipun industri kopi kini berkembang dengan pelbagai produk moden mereka masih mengekalkan dua jenis utama yang mendapat permintaan ramai iaitu Arabica dan Robusta.

“Kaedah pemprosesan ada berubah sedikit mengikut teknologi semasa, namun resipi asal tetap dikekalkan bagi memastikan rasa dan identiti kopi daun ini terus terpelihara.

“Arabica menawarkan aroma lebih harum dan rasa lebih lembut, manakala Robusta pula lebih kuat serta mengandungi kandungan kafein lebih tinggi.

“Aspek kualiti kekal menjadi keutamaan bagi memastikan kepercayaan pelanggan terus terpelihara walaupun perniagaan telah bertahan lebih 40 tahun dan setiap produk dihasilkan dengan mengekalkan standard dan resipi asal,” katanya ketika ditemui di premis pemprosesan kopi miliknya di sini semalam.

Tambahnya selain Papar, pasaran kopi daun keluaran syarikat itu berjaya dikembangkan ke pelbagai pasaran serta daerah di negeri Sabah termasuk Sipitang dan Kudat.

“Kampung Takis turut dikenali sebagai antara kawasan yang menempatkan perusahaan keluarga yang masih mengekalkan kaedah penghasilan kopi secara tradisional.

“Sehingga ke hari ini boleh dikatakan Perusahaan Kopi Daun Tong Fong ini masih kekal sebagai antara pengeluar kopi tradisional yang masih bertahan dalam arus persaingan industri moden,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda