
Laporan/foto: Salleh Immun/Hanifah Hajar Taib (Mukah)
MUKAH, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Penganjuran program berasaskan budaya penting dalam usaha memelihara warisan nenek moyang serta merangsang pembangunan komuniti melalui aktiviti ekonomi dan peningkatan peluang perniagaan.
Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib berkata Saga Nusantara Festival (SNF) 2026 yang bakal diadakan buat julung kalinya di Mukah bulan hadapan misalnya adalah platform memperkasakan warisan budaya masyarakat Melanau dan Jawa.
“Budaya merupakan identiti sesebuah masyarakat. Penganjuran festival seperti ini bukan sahaja dapat memelihara warisan budaya, malah berupaya memperkenalkannya kepada generasi muda serta pelancong yang berkunjung ke Mukah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa SNF 2026, di sini semalam.
Festival berkenaan dijangka menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan seni tradisional, pameran budaya, demonstrasi kraftangan, pertandingan kebudayaan, seminar warisan dan program interaktif yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pertemuan itu, Hanifah turut menyalurkan sumbangan RM50,000 bagi menyokong penganjuran SNF 2026.
Penganjuran festival itu dilihat berpotensi mengangkat Mukah sebagai destinasi pelancongan budaya yang signifikan di Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat warisan dan kebudayaan masyarakat Melanau di rantau ini.
-FN




