Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Lebih RM150,000 Diperuntuk Jayakan Pelaksanaan Kad Komuter Madani Shuttle Selatan

By 17 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

KULAI, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak lebih RM150,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan menerusi pengagihan 3,000 kad secara percuma kepada rakyat Johor.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata kad perjalanan bernilai RM50 itu membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan Shuttle Selatan tanpa had sepanjang tempoh ditetapkan sebagai galakan kepada rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.

Menurutnya, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif sokongan termasuk penyediaan bas pengantara, penyelarasan laluan Bas.My, perkhidmatan shuttle khas di Kempas Baru serta kemudahan park and ride di AEON Bandar Dato’ Onn.

“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan perjalanan, malah merupakan pelaburan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mengubah budaya mobiliti rakyat ke arah penggunaan pengangkutan awam yang lebih mampan dan mesra alam,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai, di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan Shuttle Selatan bukan hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur, stesen atau penyediaan tren semata-mata, sebaliknya diukur melalui penerimaan dan penggunaan perkhidmatan tersebut oleh rakyat.

“Saya yakin apabila lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam, manfaatnya akan dirasai bersama melalui perjalanan yang lebih lancar, kos yang lebih rendah serta peningkatan kualiti hidup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata perkhidmatan Shuttle Selatan dianggarkan mencatat kira-kira 700 penumpang sehari bagi kedua-dua laluan, melibatkan sekitar 115 penumpang bagi laluan Pasir Gudang dan 580 penumpang bagi laluan Johor Bahru.

Menurut beliau, jumlah itu berpotensi mencapai purata 150,000 penumpang setahun.

“Perkhidmatan ini disediakan dengan kekerapan 14 perjalanan sehari dan turut disokong oleh perkhidmatan ETS di luar waktu operasi sedia ada,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan.

-AA-

Tinggalkan komen anda