Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Shuttle Selatan Dijangka Manfaat Lebih Dua Juta Penduduk Johor

By 16 Jun 2026Jun 18th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

KULAI, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di koridor Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebagai permulaan, Shuttle Selatan akan beroperasi menerusi dua laluan utama iaitu Kulai-JB Sentral-Kulai dan Kempas Baru-Pasir Gudang-Kempas Baru.

“Perkhidmatan Shuttle Selatan diperkenalkan bagi memperkukuh hubungan antara kawasan kediaman, pusat bandar dan kawasan perindustrian utama di Johor yang sedang berkembang pesat dalam sektor perindustrian, logistik, pelabuhan, pendidikan dan perdagangan.

“Perkhidmatan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di koridor Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang yang merupakan antara kawasan pertumbuhan ekonomi paling dinamik di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan merancang untuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan pada masa hadapan dengan memanjangkan laluan dari Paloh ke Kulai melalui stesen Kluang, Renggam dan Layang-Layang.

“Selain itu, tiga stesen baharu turut dicadangkan untuk dibuka iaitu Taman Daya, Bandar Baru Seri Alam dan Pasir Putih di Pasir Gudang bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel.

“Langkah ini akan memperluaskan akses rakyat kepada pengangkutan awam yang selamat, selesa dan berdaya saing,” katanya.

Loke berkata pelaksanaan Shuttle Selatan merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Perbadanan Aset Keretapi dalam usaha memperkukuh jaringan pengangkutan rel di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Jana Santhiran Muniayan.

-AA-

Tinggalkan komen anda