
Laporan/foto: Zainudin Nurdin/Zuraidah Ahmad (Beluran)
BELURAN, 18 Jun 2026 (MalaysiaAktif) – Nilai yang dijunjung dalam Sambutan Maal Hijrah wajar dihayati sebagai satu bentuk komitmen kepada barisan kepimpinan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat dalam pelbagai sektor selari dengan makna hijrah.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri berkata semua pihak di peringkat kepimpinan kerajaan, kementerian, jabatan dan organisasi dalam komuniti perlu membentuk kesatuan sebagai usaha menyediakan pentadbiran serta perkhidmatan terbaik buat rakyat.
“Kita ini dalam bentuk satu kesatuan, satu muafakat melaksanakan pentadbiran, bagaimana kita cuba melakukan yang terbaik, perkhidmatan kita yang terbaik kepada masyarakat khususnya di kawasan Daerah Beluran, kawasan DUN Labuk ini, dan apalagi kepada masyarakat kampung di kampung pulau Keniogan, pulau Tetabuan, dan sekitar.
“Inilah tujuan dan matlamat kita bagi memberikan bagaimana kita dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita oleh sama ada pimpinan Kerajaan Persekutuan ataupun pimpinan Kerajaan Negeri melalui jabatan, agensi yang dimandatkan kepada kita,” katanya semasa merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijriah Peringkat Kampung Pulau Keniogan semalam.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, beliau percaya kehadiran kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan ke kawasan perkampungan nelayan itu akan memangkin pelan pembangunan yang lebih strategik dan inklusif buat penduduk di kawasan berkenaan.
“Ini merupakan satu proses kita membawa pemimpin sama ada peringkat negeri, peringkat persekutuan datang ke kawasan kita sama ada melihat sendiri, turun sendiri melihat bagaimana apa sebenarnya berlaku di lapangan dan apa keinginan-keinginan yang penduduk kampung ataupun masyarakat di kawasan kita.
“Jadi inilah sedikit sebanyak usaha yang cuba kita bawa untuk memastikan kawasan kita tidak tertinggal, kawasan kita dapat perhatian dan juga kampung-kampung kita ini sedikit sebanyak dapat limpahan pembangunan sama ada daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.
“Itulah niat hijrah sebenarnya kita untuk membawa lebih banyak pembangunan dan juga kesejahteraan kepada masyarakat kampung, khususnya di kawasan DUN Labuk dan juga Daerah Beluran,” ujarnya.
-RJ-




