
Laporan/foto: Ainsyah Hamid/Zulkifli Ishak (Pulau Pinang)
BAYAN BARU, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Pendedahan awal mengenai sistem pilihan raya penting bagi melahirkan rakyat celik demokrasi dan memahami hak serta tanggungjawab sebagai pengundi.
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Pulau Pinang Muhammad Taqiyuddin Mohd Sukri berkata program-program yang mendedahkan golongan itu kepada proses demokrasi juga akan membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap proses demokrasi negara.
“Program-program yang mendedahkan mereka kepada pilihan raya bukan sahaja membolehkan mereka mengetahui proses pengundian secara teori, malah dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana sesuatu pilihan raya dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Aktif pada Program Simulasi Pilihan Raya anjuran Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya menerusi Kelab Malaysiaku dengan kerjasama Pejabat Pilihan Raya (SPR) Negeri Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, di sini hari ini.
Program berkenaan menerima penyertaan seramai 300 murid sekolah tersebut.
Bagi pelajar Aina Yazid, 17, ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai sesi simulasi pengundian.
“Terujanya sebab dapat rasai sendiri proses pengundian, sebelum ini saya hanya tahu serba sedikit melalui pembacaan dan pembelajaran di sekolah” katanya.
-FN




