
Laporan/foto: Nik Faizul Bin Nik Rahmat
JELI, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Air Terjun Lata Renyuk di Kampung Renyuk, kira-kira 14 kilometer dari Pekan Jeli, terus muncul sebagai antara destinasi rekreasi semula jadi yang semakin mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar negeri.
Keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara menjadikan kawasan ini pilihan ideal untuk aktiviti riadah keluarga serta melepaskan tekanan daripada kesibukan bandar.
Lata Renyuk atau turut dikenali sebagai Lata Renyok terkenal dengan aliran air terjun yang sejuk dan jernih hasil sumber dari Banjaran Titiwangsa.
Keadaan persekitaran yang hijau serta suasana yang nyaman menjadikan kawasan ini sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan fotografi alam.

Laluan air dari kawasan Banjaran Titiwangsa.
Seorang pengunjung dari Kota Bharu, Nurul Aina Mohd Yusof, 32, berkata kebersihan kawasan serta kemudahan lengkap memberi pengalaman yang selesa kepada pengunjung.
Bagi keselesaan pengunjung, pelbagai kemudahan asas disediakan termasuk surau, tandas awam, dewan serbaguna, tapak perkhemahan serta kawasan parkir yang luas.
Kewujudan gerai makanan dan minuman turut memudahkan pengunjung menikmati aktiviti santai tanpa perlu membawa bekalan berlebihan.
Kewujudan Lata Renyuk bukan sahaja memberi ruang rekreasi kepada masyarakat, malah membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti pelancongan dan perniagaan kecil, sekali gus mengangkatnya sebagai destinasi rekreasi utama di Jajahan Jeli.
-RI







