
Laporan/Foto: Norhafiezah Abd Aziz/Stephen Jipolin Jouti (Penampang)
PENAMPANG, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 68 pegawai daripada tujuh agensi menyertai Program Table Top Pengurusan Bencana Bersepadu Inter-Agensi Daerah Penampang 2026 bagi memperkemas koordinasi menghadapi situasi kecemasan.
Pegawai Kesihatan Daerah Penampang, Dr. Euphrasia Bari berkata program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Penampang itu bertujuan mengemas kini pelan tindakan bencana selain menguji keberkesanan kerjasama rentas agensi ketika berdepan krisis.
“Pengurusan bencana yang berkesan memerlukan tindakan pantas, terancang dan terselaras bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
“Program ini dilaksanakan untuk mengenal pasti bentuk koordinasi dan jalinan kerjasama antara semua agensi di daerah ini apabila berdepan situasi bencana sebenar.
“Saya berharap semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu serta input yang diperoleh sepanjang program bagi memperkemas koordinasi di peringkat agensi masing-masing,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini.
Beliau berkata, latihan itu turut menjadi platform penting untuk meningkatkan kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab setiap agensi sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam pengurusan bencana.
Sementara itu, peserta program, Afizul Ag Amin berkata latihan berkenaan membantu setiap agensi memahami peranan masing-masing serta fungsi rakan strategik dengan lebih jelas dalam mengendalikan situasi kecemasan.
“Program seumpama ini wajar diteruskan dan diperluaskan dengan simulasi di lapangan pada masa hadapan bagi memberi pengalaman yang lebih praktikal kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya.
Pegawai Kebajikan, Ramcy Sapin pula percaya program itu berjaya meningkatkan kefahaman peserta mengenai mekanisme pengurusan bencana serta memperkukuh kerjasama antara agensi.
“Latihan kesiapsiagaan ini wajar dijadikan acara tahunan dengan penglibatan lebih banyak agensi dan sukarelawan komuniti bagi memantapkan lagi pengurusan serta pengendalian bencana pada masa hadapan,” katanya.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
-RJ-




