
Laporan/foto: Lyana Athirah/Noor Faeizah (Kota Setar)
ALOR SETAR, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Penguasaan ilmu Fiqh Wanita khususnya berkaitan hukum-hakam haid dan istihadah amat penting bagi memastikan golongan wanita Islam dapat melaksanakan ibadah wajib harian dengan sempurna, yakin dan berlandaskan hukum syarak yang tepat.
Pendakwah bertauliah Ustazah Asma’ Zainon, berkata kefahaman mendalam mengenai ilmu tersebut mampu membantu wanita menangani pelbagai persoalan serta kekeliruan yang sering timbul dalam urusan ibadah harian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Fiqh Wanita anjuran Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, di sini semalam.

Peserta tekun mendalami ilmu pengurusan ibadah harian bersempena dengan Seminar Fiqh Wanita di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.
“Antara kekeliruan yang kerap terjadi adalah melibatkan cara pengecaman warna darah pada awal kitaran, pengiraan tempoh minimum dan maksimum haid serta tanda suci sebenar seperti keluarnya cecair putih jernih,” katanya.
Selain itu, Ustazah Asma’ turut memperjelaskan salah faham yang sering berlaku dalam kalangan wanita berhubung syarat pelaksanaan solat apabila darah haid terhenti buat sementara waktu. Penjelasan tersebut diberikan bagi memastikan para peserta memahami kaedah yang betul serta tidak tersilap dalam menguruskan kewajipan agama mereka.
Seminar berkenaan memberi pendedahan menyeluruh mengenai aspek-aspek penting fiqh wanita yang berkaitan secara langsung dengan pelaksanaan ibadah, sekali gus membantu peserta meningkatkan kefahaman dan keyakinan dalam mengamalkan tuntutan agama.
Program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh pengetahuan agama dalam kalangan wanita serta melahirkan masyarakat yang lebih cakna terhadap hukum-hakam syariah, seterusnya memastikan setiap ibadah yang dilaksanakan menepati garis panduan Islam.
-RI





