Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

MKN Melaka Cungkil Kreativiti Rakyat Melalui Pertandingan Video Keselamatan Negara

By 52 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ismael Idris

AYER KEROH, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka menganjurkan Pertandingan Video Kreatif sempena Bulan Keselamatan Negara 2026 Peringkat Negeri Melaka bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan negara serta memupuk semangat tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat.

Pertandingan yang terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat itu mengangkat tema Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama di mana peserta dikehendaki menghasilkan video kreatif yang menonjolkan peranan rakyat dalam memelihara keselamatan negara dengan memilih salah satu elemen atau nilai teras yang terkandung dalam Dasar Keselamatan Negara.

Menurut Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka, Norazle Sulaiman, peserta telah menampilkan pelbagai idea kreatif dan inovatif dalam menyampaikan mesej keselamatan negara, termasuk aspek keselamatan siber, kesepaduan nasional, kestabilan politik, keselamatan rakyat serta ancaman keselamatan semasa yang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Pertandingan ini juga bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat kreatif dalam penghasilan kandungan digital, malah menjadi medium pendidikan awam yang berkesan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Dasar Keselamatan Negara dan peranan setiap individu dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara terus terpelihara,” ujarnya.

Johan pertandingan berkenaan dimenangi oleh Muhammad Zarul Afify, 28, menerusi video bertajuk Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama yang mengetengahkan Nilai Teras Keselamatan Negara yang ketiga iaitu Kesepaduan Nasional sebagai antara elemen penting dalam menjamin keselamatan negara.

“Idea penghasilan video tersebut tercetus daripada kesedaran bahawa keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, malah memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat. Saya juga percaya setiap rakyat mempunyai peranan dalam menjaga keselamatan negara.

“Mungkin ada yang beranggapan keselamatan negara hanya melibatkan pasukan keselamatan, tetapi sebenarnya tindakan harian kita seperti menjaga keharmonian masyarakat, menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan peka terhadap ancaman semasa turut memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Muhammad Zarul Afify membawa pulang wang tunai RM1,500, hadiah iringan dan sijil penyertaan, manakala naib johan dimenangi oleh Syamil Sahat, 31, yang menerima hadiah wang tunai RM1,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Amizan Lokman, 28, yang membawa pulang wang tunai RM500, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat Laksamana MKN Melaka, semalam.

Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menyertai pertandingan tersebut dan berharap inisiatif seumpama ini dapat terus menyemarakkan kesedaran bahawa keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan dan pasukan keselamatan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.

-AA-

Tinggalkan komen anda