
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 20 Jun (MalaysiaAktif) –
Kejayaan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menjadi hadiah paling bermakna buat Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, untuk ibunya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang itu berkata, cabaran yang dihadapi keluarganya tidak pernah menjadi alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga dan membalas segala pengorbanan ibunya.
“Kejayaan ini saya hadiahkan khas buat ibu. Saya mahu beliau gembira dan bangga melihat hasil usaha saya.
“Terima kasih juga kepada guru-guru dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa mendoakan, membimbing serta memberi semangat kepada saya sepanjang tempoh pengajian,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM 2025 di sekolah itu, kelmarin.
Muhammad Adam merupakan antara pelajar cemerlang sekolah tersebut yang berjaya memperoleh PNGK 4.00.
Turut mencipta kejayaan membanggakan ialah Elina Yasmin Marzuki, 20, yang memperoleh PNGK 4.00 serta mengekalkan pencapaian tersebut pada setiap semester sepanjang pengajian Tingkatan Enam.
Menurut Elina, kejayaan itu hasil disiplin yang tinggi, pengurusan masa yang baik serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana segala penat lelah selama ini akhirnya membuahkan hasil. Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa kerana setiap usaha pasti ada ganjarannya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu, Azaman Abdul Rahman menyifatkan pencapaian yang diraih para pelajar sebagai hasil gabungan usaha gigih pelajar, bimbingan guru dan sokongan berterusan ibu bapa.
-AA-





