Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Pulau Pinang Hargai PERANAN Media, Komited Sokong Kewartawanan Berintegriti

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Rezwane Md Zabidi/Facebook Chow Kon Yeow

BAGAN DALAM, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri ini selain komited menyokong amalan kewartawanan yang berintegriti dalam era transformasi digital yang semakin mencabar.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 merupakan satu penghormatan besar kepada negeri ini serta mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara kerajaan negeri dan komuniti media.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat dilaksanakan secara telus, tepat dan inklusif selaras dengan aspirasi Visi Penang2030.

“Kerajaan negeri amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi meraikan para pengamal media dari seluruh negara dan rantau ASEAN sempena HAWANA 2026.

“Majlis makan malam ini merupakan lambang penghargaan, keakraban dan pengukuhan hubungan harmoni yang telah lama terjalin antara kerajaan negeri dan komuniti media,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026, di sini kelmarin.

Mengulas perkembangan industri media, Chow berkata kemajuan teknologi komunikasi, ledakan media sosial dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) menuntut pengamal media untuk terus memperkukuh peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan dipercayai.

Menurut beliau, dalam era maklumat yang bergerak pantas, wartawan profesional memainkan peranan penting sebagai benteng utama negara dalam menangani penyebaran berita palsu, manipulasi fakta dan maklumat yang mengelirukan.

Beliau turut menyifatkan media sebagai antara rakan strategik terbaik Pulau Pinang yang telah merakam dan mendokumentasikan pelbagai detik penting dalam sejarah pembangunan negeri, termasuk perkembangan sektor perindustrian sejak tahun 1970-an, pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO serta kejayaan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi dan teknologi negara.

Sehubungan itu, beliau berharap sambutan HAWANA 2026 akan terus menjadi platform yang memperkukuh perpaduan komuniti media, meningkatkan kerjasama serantau serta mengangkat martabat kewartawanan yang beretika, profesional dan berintegriti.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Wong Chun Wai serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

-AA-

Tinggalkan komen anda