
Laporan/foto: Aileen Madeh Nension (Lubok Antu)
LUBOK ANTU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Persatuan Gendang Batang Ai terus memainkan peranan penting memelihara dan memperkasa seni persembahan gendang tradisional sebagai warisan budaya masyarakat setempat.
Usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan seni budaya yang diwarisi turun-temurun tidak pupus serta dapat terus dihayati generasi muda.
Langkah ini juga penting sebagai sebahagian daripada identiti dan jati diri masyarakat di Sarawak.
Ketua masyarakat Iban Lubok Antu, Pemanca Grang Juben, 76, berkata seni warisan berkenaan perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan peredaran masa.
“Seni warisan ini adalah cerminan jati diri kita,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Menurut Grang, jika khazanah bernilai tersebut tidak dipertahankan hari ini, ia mungkin hanya akan tinggal nama dalam buku sejarah pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa Persatuan Gendang Batang Ai sentiasa berusaha memastikan rentak dan pukulan gendang asli terus dipersembahkan dalam pelbagai program komuniti.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada masyarakat luar, malah menjadi medium pendidikan kepada generasi muda.
Persembahan gendang yang menjadi kebanggaan masyarakat di daerah ini mempunyai peranan penting dalam pelbagai adat resam dan majlis rasmi.
Komitmen berterusan persatuan itu membuktikan adat dan budaya tradisional mampu bergerak seiring dengan pembangunan moden melalui sokongan aktif komuniti setempat.
Melalui pemeliharaan yang konsisten, seni gendang tradisional di Batang Ai diharapkan terus kekal menjadi lambang kekayaan budaya Sarawak.
-RJ-




