Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kerajaan MADANI Perkasa Modal Insan Melalui Jelajah Pocket Talk

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Kementerian Sumber Manusia

JOHOR BAHRU, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 1,000 penduduk sekitar Kempas menghadiri Program Siri Jelajah Pocket Talk HRD Corp Dari Dasar ke Rakyat untuk menarik minat masyarakat terhadap peluang pembangunan kemahiran dan peningkatan kebolehpasaran yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri R. Ramanan Ramakrishnan, berkata program ini menjadi saluran penting untuk mendekatkan dasar kerajaan kepada rakyat, selain memberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensi-agensi di bawahnya.

“Penjelasan mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat diberikan kepada masyarakat bagi menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan yang dipengaruhi oleh perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan digitalisasi.

“Selain itu, melalui program ini, kita berikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai pelbagai bantuan, latihan dan peluang peningkatan kerjaya yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Starhill Golf And Country Club, Kempas, di sini semalam.

Sementara itu, Ramanan, berkata kejayaan sebenar sesuatu program bukan hanya diukur melalui jumlah penyertaan, tetapi sejauh mana rakyat memahami peluang yang disediakan dan dapat mengakses manfaat yang ditawarkan.

Beliau berkata, cabaran utama masa kini bukanlah perkembangan teknologi itu sendiri, sebaliknya kegagalan untuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam dunia yang sentiasa berubah.

“Justeru, agenda upskilling dan reskilling terus diberi penekanan oleh Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan MADANI akan terus komited melabur dalam pembangunan modal insan kerana rakyat merupakan aset paling berharga dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran negara dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

-AA-

Tinggalkan komen anda