Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor Kekalkan Konsep Tradisional

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fikri Johari/Samsul Amri (LMS)

SELAMA, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Daerah kecil Selama yang dikelilingi keindahan alam semula jadi serta suasana kampung yang masih terpelihara, kini terus mengorak langkah sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang unik dan menarik di negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata antara tarikan utama yang menjadi kebanggaan penduduk setempat ialah Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor yang berjaya mengekalkan identiti dan konsep tradisional masyarakat Melayu sekitar era 1950-an hingga 1970-an.

“Keunikan suasana pasar ini memberikan pengalaman nostalgia kepada pengunjung menerusi budaya perniagaan lama, pakaian tradisional, makanan warisan serta kemesraan penduduk kampung yang masih diamalkan sehingga kini.

“Pasar Pagi Sungai Bayor turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak sepanjang 2.32 kilometer pada 5 September tahun lalu.

“Pengiktirafan tersebut sekali gus meletakkan Sungai Bayor sebagai mercu tanda baharu pelancongan daerah Selama dan negeri Perak,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian di Tapak Pasar Pagi Sungai Bayor, di sini kelmarin.

Hasil tinjauan MalaysiaAktif, Pasar Pagi Sungai Bayor turut menawarkan pelbagai produk tempatan dengan harga yang berpatutan.

Antara yang paling mendapat perhatian pengunjung ialah Nasi Lemak 50 Sen yang menjadi simbol keunikan dan daya tarikan pasar tersebut.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan hasil tani segar, kuih-muih tradisional, makanan kampung, barangan kraf tangan dan pelbagai produk tempatan yang sukar ditemui di tempat lain.

Pasar Pagi Sungai Bayor bukan sahaja menjadi medan ekonomi masyarakat setempat, malah berperanan sebagai platform mempromosikan warisan budaya, pelancongan dan identiti daerah Selama kepada masyarakat umum.

Turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun, Timbalan Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aida Hazlyn Hassan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Selama Nor Akmal Yang Ghazali.

-AA-

Tinggalkan komen anda