Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PUSPANITA Memeperkasakan Keyakinan dan Kemahiran Wanita

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anita Omar (Kerian)

KERIAN, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 25 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Kerian menyertai Bengkel Pesona Anggun bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan wanita.

Program anjuran PUSPANITA Daerah Kerian itu diadakan dengan menampilkan penceramah jemputan, Marshita Othman untuk berkongsi teknik komunikasi berkesan serta kaedah berucap di khalayak ramai.

Menurut Marshita, kemahiran pengucapan awam bukan sahaja bergantung kepada bakat semula jadi, sebaliknya boleh dipelajari dan dipertingkatkan melalui latihan berterusan bagi membina keyakinan serta keberanian untuk tampil bercakap di hadapan orang ramai.

“Dalam diri setiap wanita telah ada kemahiran komunikasi tersendiri, justeru aktiviti hari ini bertujuan untuk memperbaiki teknik penyampaian yang lebih berkesan termasuk penggunaan intonasi suara, bahasa badan, kontak mata dan ekspresi wajah.

“Ilmu yang dipelajari hari ini juga mampu membina kemahiran berfikir secara pantas di mana para peserta diharapkan dapat menjawab soalan dan bercakap tanpa persediaan yang panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Bengkel Pesona Anggun anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Kerian di Pejabat Daerah Kerian di sini, Khamis lepas.

Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA Daerah Kerian, Noor Zawati Zulkpli, berkata penganjuran bengkel tersebut memberi manfaat kepada peserta dalam meningkatkan kualiti diri, khususnya dari aspek komunikasi, penampilan dan keyakinan diri.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai wanita yang berani tampil, berkeyakinan serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda