Skip to main content
Berita TempatanSabah

Derita Ayah Cetus Misi Derma Darah Pesara JKR

By 56 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Sabri Sailus/Abdul Malik Amit (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Jun (MalaysiaAktif)-Pengalaman berdepan kesukaran mendapatkan bekalan darah untuk bapanya yang sakit tenat menjadi titik tolak kepada pesara kerajaan, Daulin Gutak, 68, aktif menganjurkan kempen derma darah sejak lebih dua dekad lalu.

Daulin yang pernah berkhidmat selama 23 tahun di Jabatan Kerja Raya (JKR), berkata pengalaman itu mendorong beliau dan isterinya menjadi penderma darah tetap seterusnya menggerakkan pelbagai kempen derma darah bagi membantu masyarakat.

“Usaha menganjurkan kempen derma darah merupakan satu khidmat masyarakat yang amat bermakna kerana dapat membantu memastikan bekalan darah di hospital sentiasa mencukupi.

“Pengalaman melihat bapa saya yang sakit tenat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan darah di hospital menjadi pemangkin kepada saya dan isteri untuk terlibat secara aktif sebagai penderma serta penganjur kempen derma darah.

“Kami berharap usaha kecil ini dapat membantu lebih ramai individu yang memerlukan transfusi darah untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui Kempen Derma Darah di Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, semalam.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Menurut Daulin, sejak mula bergiat aktif pada 2003 beliau dan isteri berjaya menganjurkan pelbagai kempen derma darah di beberapa lokasi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Kampung Tenghilan, Kampung Gayaratau, Pekan Nabalu, Keporingan serta beberapa kawasan lain.

“Memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi namun ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus membantu mereka yang memerlukan darah.

“Selagi diberi kesihatan dan kemampuan, saya akan terus menganjurkan kempen seperti ini demi kepentingan masyarakat,” ujarnya.

Derma darah membantu pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan seperti mangsa kemalangan dan pesakit yang menjalani pembedahan, malah memberi harapan kepada pesakit kronik termasuk penghidap talasemia yang memerlukan transfusi darah secara berkala.

-RJ-

Tinggalkan komen anda