Skip to main content
Rencana & Pendapat

Lata Janggut Tarikan Rekreasi Keluarga di Jeli

By 28 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Faizul Nik Rahmat (Jeli)

JELI, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Keindahan alam semula jadi Lata Janggut menjadi lokasi rekreasi yang semakin popular dan menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan luar daerah.

Terletak di kawasan yang dikelilingi kehijauan hutan, lokasi ini menawarkan suasana nyaman serta aliran sungai yang untuk perkelahan, mandi-manda serta sesuai untuk aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi utama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Keistimewaan Lata Janggut terletak pada struktur kawasannya yang berbeza berbanding kebanyakan lata lain apabila terdapat bahagian sungai yang berpasir dan landai, sekali gus menyerupai suasana pantai kecil yang lebih mesra kanak-kanak. Faktor ini membolehkan kanak-kanak bermain air dengan lebih selamat di bawah pemantauan ibu bapa.

Suasana air tenang di kawasan landai yang seperti pantai menjadikan anak-anak kecil boleh mandi dengan selesa.

Seorang pengunjung dari Tanah Merah, Siti Nur Aisyah Mohd Salleh, 35, berkata Lata Janggut menjadi pilihan keluarganya kerana sesuai untuk anak-anak kecil.

“Kawasannya tidak terlalu berbatu dan airnya tenang. Anak-anak boleh bermain dengan selamat dan kami sekeluarga dapat berehat dengan selesa,” katanya.

Bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan, kemudahan sewaan pelampung turut disediakan untuk kegunaan pengunjung cilik yang ingin bermain air.

Di kawasan tumpuan pengunjung, pelbagai kemudahan asas disediakan termasuk gerai makanan dan minuman, tandas awam serta buaian untuk berehat sambil menikmati suasana alam semula jadi.

Kehadiran pengunjung yang semakin meningkat turut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat melalui aktiviti perniagaan kecil, sekali gus membantu mempromosikan kawasan pelancongan alam semula jadi tersebut.

-RI

 

Tinggalkan komen anda