
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Berry Taimin/Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah (Penampang)
PENAMPANG, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Dinobatkan sebagai Juara Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 daripada 53 peserta bukanlah suatu kejayaan yang datang bergolek.
Bagi Gelvia Vanessa Jenny, 24, kemenangan itu sebaliknya adalah hasil usaha, disiplin dan pengorbanan yang dilaluinya sebelum serta sepanjang tempoh pertandingan yang diadakan di Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Selepas lebih sebulan bergelar UNK, beliau kini fokus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang digalas bagi memperjuangkan adat tradisi Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta aktiviti sosial bersama komuniti.
“Kini jadual saya menjadi lebih sibuk berbanding sebelum ini kerana perlu menghadiri pelbagai program dan aktiviti berkaitan kebudayaan serta masyarakat, saya melihat peranan saya bukan sekadar mewakili budaya masyarakat KDMR malah menjadi duta yang mempromosikan keunikan Sabah kepada masyarakat luar.
“Peranan UNK ini penting terutama bagi memastikan generasi muda perlu terus menghargai dan memelihara adat serta budaya kerana warisan tersebut merupakan identiti yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.
“Media sosial juga dimanfaatkan sebagai platform yang paling berkesan untuk memperkenalkan budaya, bahasa, makanan tradisional dan nilai masyarakat Sabah kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui bual dalam segmen iNSPO@JAPEN Sabah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Gelvia percaya pertandingan UNK menjadi simbol kekuatan dan keunggulan kaum wanita terutama dalam melahirkan generasi yang berilmu, berbudaya dan komited untuk mencipta kejayaan dalam apa jua bidang.
“Pertandingan ini banyak membantu saya meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi terutama ketika berhadapan dengan khalayak ramai, melalui latihan dan pengalaman sepanjang pertandingan, saya belajar untuk lebih berani dan bersedia menghadapi pelbagai situasi.
“Memang kita akan berasa letih, namun saya tetap bersemangat untuk merebut peluang dan memperbaiki diri, dulu saya hanya melihat peserta yang berjaya dan tertanya-tanya bagaimana rasanya berada di tempat mereka.
“Kini apabila impian itu menjadi kenyataan, perasaan itu sukar digambarkan dan keseluruhan perjalanan menuju kejayaan ini boleh saya sifatkan sebagai “perjalanan yang bukan mudah, tetapi sangat indah,” ujarnya.
-RJ-




