
Laporan/foto: Zatul Iffah/Kubendiran (Kulim)
KULIM, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Tanaman durian berpotensi besar untuk menjana ekonomi penduduk kampung, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Chan Ming Kai.
Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan menerusi penghasilan buah yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing di pasaran.
“Para pekebun digalakkan agar terus meningkatkan mutu hasil tanaman bagi memperkukuhkan lagi industri durian tempatan serta membuka peluang pasaran yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Program Durian Bersama Komuniti Kampung Angkat Daerah Kulim di Kampung Baru Junjong, di sini kelmarin.
Program kali kedua anjuran Jabatan Pertanian dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Junjong itu menghimpunkan pengusaha durian sekitar daerah ini dalam usaha mempromosikan industri durian tempatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

Antara buah yang dipertandingkan dan mendapat perhatian juri dan orang ramai.
Antara pengisian utama program ialah Pertandingan Durian Terbaik yang mempertandingkan dua kategori utama, iaitu ‘black thorn’ (duri hitam) dan ‘musang king’ yang memberi peluang kepada pengusaha mempamerkan hasil durian terbaik masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Baru Junjong, Lok Hean Hiong berkata program yang menjadi platform untuk mempromosikan hasil tanaman penduduk itu diharap akan diteruskan lagi pada masa hadapan.
-RI







