
Laporan/foto: Eviannie Kin (Sarawak)/TVS
KUCHING, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak disifatkan rakyat sebagai langkah strategik merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Pekerja sektor swasta, Muhammad Shahrull Effiezull, 29, berharap langkah ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti khususnya kepada generasi muda.
Bagi beliau, penyerahan tersebut mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan Sarawak mengurus aset strategik demi kepentingan rakyat.
Penjawat awam, Aidalina Mahili, 41, berkata penyerahan tersebut merupakan hasil komitmen berterusan dalam memastikan kepentingan negeri serta rakyat diberi perhatian.
“Sebagai rakyat Sarawak, saya melihat penyerahan Pelabuhan Bintulu ini sebagai satu manifestasi hubungan yang matang dan konstruktif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Aidalina, hubungan baik ini penting bagi membuka peluang mempercepatkan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pelaburan.
Beliau berharap segala komitmen yang dipersetujui dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dipelihara.
Penjawat awam negeri, George Rong Ganing, 34, pula berpendapat keputusan melepaskan aset strategik itu mencerminkan penghormatan terhadap hak Sarawak.
“Keputusan Kerajaan Persekutuan melepaskan aset strategik seperti Pelabuhan Bintulu mencerminkan penghormatan terhadap hak Sarawak serta keyakinan terhadap keupayaan negeri ini mengurus asetnya mengikut semangat MA63,” katanya.
George berharap hubungan erat ini terus diterjemahkan kepada manfaat nyata melalui penambahbaikan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Kedua-dua kerajaan pada Februari lepas mencapai persetujuan secara prinsip mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bernilai RM1.8 bilion.
-RJ-





