
Laporan/foto: SitiHajar/Nur Imanina (Perak)
IPOH, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Labu Sayong asli yang dihasilkan daripada tanah liat Kampung Kepala Bendang, Sayong terus menjadi warisan kraf tangan tradisional yang dipelihara menerusi penghasilan produk unik dan inovasi mengikut keperluan semasa.
Pengusaha Labu Sayong, Masitah Ahmad, 36, berkata bekas air tradisional berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai kegunaan harian malah turut menjadi hasil seni yang mempunyai nilai budaya tersendiri.
Menurutnya, bahan mentah kraf tradisional itu sangat istimewa kerana tekstur tanah liatnya menyerupai gam dan bebas daripada cacing.
“Labu Sayong daripada tanah liat ini bertindak sebagai agen penyejuk semula jadi yang mampu menghasilkan kedinginan air sejuk menyamai air sungai.
“Kelebihan air dalam labu sayong ini, lebih berkualiti daripada air mata air atau air mineral di pasaran kerana sifat sejuknya yang semula jadi, amat mesra kepada warga emas kerana tidak memberikan kesan sakit urat seperti air peti ais,” katanya.
Beliau ditemui di Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.
Masitah berkata proses penghasilan Labu Sayong masih memerlukan kemahiran tangan apabila tanah liat tersebut perlu dijemur sehingga benar-benar kering selama tiga hari sebelum ditumbuk menggunakan lesung kaki, diayak dan dibentuk secara manual bagi menghasilkan satu labu sayong dalam sehari.
Setiap produk yang dihasilkan perlu melalui proses pembakaran menggunakan sekam padi atau sekam kayu selama 10 jam pada suhu 900 darjah Celcius.
Menyentuh mengenai perkembangan seni itu, beliau berkata reka bentuk Labu Sayong kini turut diinovasikan dalam bentuk bekas air bercorong yang mesra untuk semua lapisan umur, lampu tidur dan cenderamata korporat yang dijual pada harga mampu milik bermula RM15 hingga RM180.
-AA-




