
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/SWCorp Johor
JOHOR BAHRU, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 16 individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-10 anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor di Legaran Segget, di sini semalam.
Pengarahnya Zainal Fitri Ahmad berkata kesemua pesalah diperintahkan mahkamah menjalani hukuman itu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 10 pesalah ialah warganegara Malaysia, manakala empat lagi warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Singapura.
“Sepanjang menjalani hukuman itu, pesalah diarahkan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan tumpuan awam di bawah pengawasan penguat kuasa SWCorp sebagai pendekatan pemulihan dan pendidikan sivik,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, sehingga 26 Jun lalu, sebanyak 2,191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di Johor bagi kesalahan membuang sampah kecil, manakala 52 kes berjaya didakwa di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM39,950.
“Kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau hukuman PKM sehingga enam bulan, manakala kegagalan mematuhi arahan PKM boleh dikenakan denda maksimum RM10,000,” katanya.
-AA-




