Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

HAD 2026 Perkukuh Penglibatan Awam Cegah Penyalahgunaan Dadah

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Eliasak Omar/Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia

KEPALA BATAS, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) 2026 di Pulau Pinang menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Dato’ Ruslin Jusoh berkata tema ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ yang diangkat pada tahun ini menggambarkan iltizam semua pihak untuk melihat isu penyalahgunaan dadah sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan bukan lagi sekadar masalah domestik.

“Dalam usaha merealisasikan teras Kesejahteraan dan Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI, AADK melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan 10 entiti utama termasuk individu, institusi keluarga, komuniti, pengamal media serta kementerian dan agensi berkaitan,” katanya, di sini kelmarin.

Reruai pameran kreatif antara yang mencuri tumpuan pengunjung HAD 2026.

Selain pengisian berbentuk advokasi, sambutan yang berlangsung dalam suasana santai itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran pendidikan, program kekeluargaan serta perkhidmatan Mobilisasi Rawatan dan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT AADK) yang menyediakan khidmat kaunseling dan pendaftaran pemulihan secara sukarela. Inisiatif ini memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan bantuan secara terus tanpa rasa takut atau stigma.

Majlis sambutan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib itu turut mencerminkan komitmen kukuh serta kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperhebat usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah.

AADK turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama memperkasakan usaha pencegahan dadah dengan menyertai program-program kesedaran serta mendapatkan khidmat sokongan yang disediakan di kaunter AADK.

Pendekatan inklusif ini diyakini mampu memperluas akses kepada perkhidmatan pemulihan, mengurangkan stigma terhadap penagihan dan seterusnya merealisasikan aspirasi Dadah Terkawal 2030.

-RI

Tinggalkan komen anda