Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Ride Against Drugs 2026 Suntik Kesedaran Komuniti Cegah Dadah

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Adawiyah Othman (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Program Ride Against Drugs 2026 berjaya menjadi platform santai namun berkesan dalam menyampaikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada masyarakat.

Program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kuala Terengganu diadakan bersempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan dan Hari Antidadah Antarabangsa yang disambut pada 26 Jun setiap tahun.

Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Terengganu Mohd Farid Muda berkata landskap penyalahgunaan dadah kini semakin membimbangkan dengan kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik yang mudah dihasilkan dan diedarkan.

Sehubungan itu, AADK Negeri Terengganu telah mengadakan pameran khas yang memaparkan pelbagai jenis dadah sintetik dan komersial bagi memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya ibu bapa, supaya lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak.

Antara contoh spesimen urin seorang penagih dan jenis-jenis dadah yang terkenal dalam kalangan anak muda.

Menurut beliau, AADK pernah menahan pelajar seawal usia 13 tahun yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah seperti syabu dan Eramin 5.

“Lebih membimbangkan, sebahagian bahan tersebut kini disalahgunakan melalui cecair perisa vape yang dikenali sebagai mushroom.

“Kesedaran awal dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala ini daripada terus menular,” katanya ketika ditemui di gerai pameran di Dataran Banggol Cempedak, di sini semalam.

Penyertaan dari pelbagai jabatan kerajaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat mengenai bahaya dadah, khususnya dalam kalangan pelajar dan kanak-kanak.

Program Ride Against Drugs 2026 bukan sekadar aktiviti beriadah, malah menjadi simbol komitmen bersama dalam memerangi dadah serta menyemarakkan usaha melahirkan generasi MADANI yang sihat, berdaya saing dan bebas daripada ancaman najis dadah.

-RI

Tinggalkan komen anda