
Laporan/foto: Yusmila (Sik)
SIK, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Tapak semaian kopi di Bandar Beris Jaya yang mula beroperasi sejak tahun 2019 kini berjaya menghasilkan lebih 20,000 anak benih kopi pelbagai varieti termasuk Robusta, Arabica dan Liberica bagi memenuhi permintaan pasaran di Semenanjung.
Pengusahanya, Haslina Hamid, 54, berkata pengalaman lebih tiga dekad itu menjadi asas kepada usaha membangunkan tapak semaian yang mampu menghasilkan anak benih berkualiti.
Beliau berkata anak benih kopi yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan daripada pekebun di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Melaka.
“Saya mula berkecimpung dalam penanaman kopi sejak tahun 1990 dan daripada pengalaman itu saya belajar menghasilkan anak benih yang berkualiti, alhamdulillah permintaan semakin meningkat setiap tahun,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Pokok kopi Arabica.
Beliau bukan sahaja menjual benih kopi Robusta, malah turut membekalkan benih Arabica dan Liberica kepada pelanggan dari pelbagai negeri.
“Kami sentiasa memastikan setiap anak benih yang dijual berada dalam keadaan terbaik supaya dapat membantu pengusaha memperoleh hasil yang lebih baik,” katanya.
Menurut Haslina lagi, pihaknya kini merancang untuk membangunkan Kebun Kopi Haslina di persisiran Beris Jaya sebagai pusat penanaman kopi, tapak semaian anak benih, pusat pemprosesan biji kopi serta sebuah kafe berkonsepkan kebun kopi.
Usaha berkenaan turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pertanian Daerah Sik dalam memperkukuhkan industri kopi tempatan.
Sementara itu, suaminya, Zubaidi Hadis, 70, berkata pembangunan kafe di dalam kebun kopi itu diharap mampu memberi pengalaman baharu kepada pengunjung selain mempromosikan industri kopi tempatan.
“Perancangan kami bukan sekadar menanam, tetapi mahu mewujudkan sebuah kafe di tengah-tengah kebun supaya pengunjung dapat menikmati suasana kebun sambil merasai kopi yang diproses daripada hasil tanaman sendiri.
“Kami mahu menjadikan tempat ini sebagai destinasi agro pelancongan yang dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Beris Jaya,” katanya.
-RI






