
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah mengeluarkan 34 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi strategik sekitar daerah ini, malam tadi.
Operasi yang bermula dari 8 malam hingga 12 tengah malam itu diketuai oleh Insp. Mohd Rahmat Jalimin dengan penglibatan 14 pegawai dan anggota polis.
Mohd Rahmat berkata operasi tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan awam menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Mukah-Balingian dan rondaan cegah jenayah di kawasan bandar, taman perumahan, pencawang syarikat telekomunikasi serta kawasan rekreasi.
“Sebagai sebahagian daripada operasi, Sekatan Jalan Raya (SJR) telah diadakan di Jalan Mukah-Balingian yang merupakan antara laluan utama menghubungkan beberapa kawasan penempatan penduduk di daerah itu.
“Hasil pemeriksaan katanya mendapati sebahagian pengguna jalan raya masih gagal mematuhi peraturan lalu lintas menyebabkan sebanyak 34 saman dikeluarkan kepada pemandu dan penunggang motosikal daripada keseluruhan 115 kenderaan serta 140 individu yang diperiksa sepanjang operasi,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi bersama-sama memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
-RJ-




