Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambulayang Semarakkan Regatta Lepa

By 37 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Priscilla Chong (Semporna)

SEMPORNA, 29 Jun (MalaysiaAktif)– Sebanyak 325 sambulayang dipasang sempena penganjuran Regatta Lepa Ke-31 tahun ini mencerminkan komitmen masyarakat dalam memelihara dan mengangkat warisan budaya Bajau.

Ketua Daerah Semporna, Majid Palah, berkata sambutan menggalakkan terhadap pemasangan sambulayang membuktikan semangat masyarakat untuk terus mengekalkan identiti budaya yang diwarisi turun-temurun.

“Pemasangan sambulayang menceriakan suasana Regatta Lepa dan menjadi simbol penghargaan terhadap warisan masyarakat Bajau yang sinonim dengan kehidupan maritim.

“Sambulayang yang menghiasi jalan utama dan kawasan sekitar festival menyerikan sambutan, serta menjadi tarikan kepada pengunjung serta memperkukuhkan identiti Semporna sebagai daerah yang kaya dengan warisan budaya.

“Penglibatan aktif penduduk juga mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam menjayakan Regatta Lepa demi memastikan warisan budaya ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di Dataran Regatta Lepa , baru-baru ini.

Menurut beliau, Regatta Lepa meraikan keunikan budaya masyarakat Bajau di samping memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya yang dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ratusan sambulayang yang berkibar sepanjang sambutan menjadi lambang kebanggaan masyarakat terhadap sejarah, identiti dan warisan budaya mereka.

“Sambulayang merupakan antara elemen paling ikonik dalam Regatta Lepa kerana melambangkan semangat, keberanian dan hubungan erat masyarakat Bajau dengan lautan,” ujarnya.

Pada asalnya, sambulayang ialah layar tradisional yang dipasang pada perahu lepa bagi membantu pelayaran menggunakan tiupan angin sebelum berkembang menjadi simbol budaya yang terus dipelihara sehingga hari ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda