
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman (SAPD) muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala Pusingan Pengarah Hospital Sri Aman 2026 selepas kejohanan dua hari itu melabuhkan tirainya di Padang Bola Sepak KPSU Sri Aman semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan SAPD membawa pulang piala pusingan berserta wang tunai RM600, sekali gus memperbaiki pencapaian mereka selaku naib juara pada edisi terdahulu.
Pengarah Hospital Sri Aman Dr Hazwani Mohd Yusof berkata kejohanan itu merupakan pengisian di bawah program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan penjawat awam.
“Kita juga berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium utama untuk memperkukuh perpaduan, kerjasama strategik dan semangat muhibah,” katanya semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan itu semalam.
Sementara itu, pengurus pasukan SAPD Santro Mathew Latius melahirkan rasa bangga terhadap komitmen tinggi dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh barisan pemainnya sepanjang kejohanan.
Dalam saingan tersebut, pasukan Sarawak General Hospital (SGH), Kuching menyandang gelaran naib johan untuk membawa pulang wang tunai RM300, manakala pasukan Medic Sri Aman dan Medic Belaga pula berkongsi tempat ketiga.
Penyerang SGH Kuching Mohd Nazreen Ismail dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan, manakala Muhammad Aminuddin Mohd Shamsul dari SAPD dipilih selaku Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Sebanyak enam pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu melibatkan pasukan SAPD Sri Aman, SGH Kuching, Medic Sri Aman, Medic Belaga, Kelab Perkhidmatan Sukan Kesihatan (KPSC) Betong dan KPSC Simunjan.
Penganjuran kejohanan tersebut berjaya mengukuhkan hubungan serta kerjasama strategik antara warga KKM Negeri Sarawak dan Polis Diraja Malaysia khususnya IPD Sri Aman melalui aktiviti sukan.
-RJ-




