Skip to main content
Berita TempatanSabah

Krustasea Daratan Terbesar Dunia Produk Ekopelancongan Baharu Semporna

By 34 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Priscilla Chong (Semporna)

SEMPORNA, 29 Jun (MalaysiaAktif)– Ketam kelapa (Birgus latro), spesies krustasea daratan terbesar di dunia yang semakin sukar ditemui berpotensi menjadi produk ekopelancongan baharu di Semporna dan memperkukuh kedudukan daerah itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim berkata kehadiran spesies ikonik itu di beberapa pulau sekitar Semporna, termasuk Pulau Sipadan membuktikan kawasan berkenaan masih memiliki ekosistem yang sihat dan membuka peluang kepada pembangunan produk pelancongan berasaskan biodiversiti.

“Selama ini Semporna terkenal sebagai destinasi penyelaman bertaraf dunia namun kekayaan biodiversiti daratan seperti ketam kelapa mampu menawarkan pengalaman baharu kepada pelancong.

“Semporna dikenali sebagai syurga penyelaman dunia. Kini, keunikan biodiversiti daratan seperti ketam kelapa boleh diketengahkan sebagai produk ekopelancongan yang memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

“Spesies ini menarik perhatian penyelidik dan pencinta alam berpotensi menarik lebih ramai pelancong yang ingin melihat sendiri hidupan liar yang jarang ditemui dalam habitat semula jadinya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, habitat ketam kelapa yang terdiri daripada hutan pantai dan kawasan pesisir yang masih terpelihara menjadikan Semporna antara lokasi penting bagi kelangsungan hidup spesies berkenaan.

“Pembangunan produk pelancongan berasaskan biodiversiti perlu dilaksanakan secara lestari supaya habitat semula jadi spesies itu tidak terjejas.

“Kita mahu pelancong datang bukan sahaja menikmati keindahan laut dan pulau-pulau, tetapi turut menghargai kekayaan biodiversiti Semporna.

“Pemuliharaan dan pelancongan perlu bergerak seiring agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” ujarnya.

Tambah Marklarin, kerjasama antara Taman-Taman Sabah, agensi kerajaan, komuniti setempat dan pengusaha pelancongan penting bagi memastikan habitat ketam kelapa terus dipelihara di samping memperkukuh program pendidikan serta kesedaran awam mengenai kepentingan spesies itu.

“Sekiranya diurus secara mampan, ketam kelapa mampu muncul sebagai ikon baharu ekopelancongan Sabah yang memperkayakan produk pelancongan negeri dan simbol kejayaan usaha pemuliharaan biodiversiti,” ujarnya.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda