
Laporan/Foto: Fakhri Zafran (Sri Aman)
SRI AMAN, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkang Ulu bagi memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti menerusi pengembangan projek tanaman sawit penduduk setempat.
Peruntukan itu diumumkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 di Rumah Kennedy, Langkang Ulu, Engkilili semalam.
“Bantuan tersebut bertujuan menyokong usaha komuniti Langkang Ulu memperluaskan projek tanaman sawit yang berpotensi menjana pendapatan tambahan sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Douglas Uggah, kejayaan projek tanaman sawit yang diusahakan JKKK Langkang Ulu membuktikan bahawa inisiatif ekonomi yang dirancang dengan baik mampu meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau berharap peruntukan itu menjadi pemangkin kepada pengembangan projek berkenaan agar lebih ramai penduduk menikmati manfaat ekonomi secara berterusan.
Kerajaan Sarawak katanya akan terus menyokong inisiatif pembangunan komuniti yang berpotensi memperkasa ekonomi luar bandar, mewujudkan peluang pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara mampan.
JKKK Langkang Ulu sebelum ini katanya mengharumkan nama komuniti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah SMART Komuniti Perak 2024 hasil kejayaan melaksanakan projek tanaman sawit menerusi Program Sahabat Komuniti Desa (SKOD).
Tambah beliau pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan komuniti luar bandar mengurus projek ekonomi secara sistematik melalui kerjasama erat, perancangan berkesan dan penglibatan aktif masyarakat.
Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak yang diraikan turut mengetengahkan keunikan budaya masyarakat Iban sebagai simbol kesyukuran atas hasil tuaian di samping mengeratkan hubungan silaturahim penduduk setempat.
-RJ-





