Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Samarahan Bike Challenge Perkukuh Identiti Pelancongan Berbasikal Kota Samarahan

By 13 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Norlia Mili (Sarawak)

KOTA SAMARAHAN, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Penganjuran Samarahan Bike Challenge Kali Ke-10 berjaya menarik penyertaan lebih 156 peserta termasuk 20 pelumba antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai acara sukan utama di Sarawak.

Acara yang bermula sebagai program komuniti itu kini berkembang menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu serta mempromosikan Kota Samarahan sebagai destinasi pelancongan sukan berbasikal.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata penyertaan pelumba dari Indonesia, Kanada dan New Zealand membuktikan acara tersebut semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Acara ini telah kita naik taraf dan kita nampak potensinya untuk dibangunkan bukan sahaja sebagai platform mencungkil bakat, malah mampu menjadi identiti Kota Samarahan khususnya dari sudut pelancongan berbasikal,” katanya ketika ditemui media pada program itu, semalam.

Menurut Rubiah, beberapa pelumba dari Semenanjung Malaysia bagaimanapun tidak dapat menyertai kejohanan kali ini berikutan berdepan kekangan tarikh serta kos pengangkutan.

Beliau menjelaskan Samarahan Bike Challenge turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta menerima sokongan dana penganjuran daripada kementerian berkenaan.

“Ia bukan sekadar pertandingan berbasikal, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Pihak penganjur berharap acara itu dapat terus diperkasakan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas dari dalam dan luar negara sekali gus mengangkat sukan berbasikal sebagai produk pelancongan mampan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda