
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Taman Perindustrian Sri Aman bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu apabila empat syarikat menerima surat kelulusan lot industri bagi memulakan operasi perniagaan di kawasan perindustrian berhampiran Taman Vistagro.
Empat syarikat yang menerima kelulusan ialah TYM Construction Sdn. Bhd., Jerok Oil Palm Sdn. Bhd., Hiong Huat Metal & Aluminium Sdn. Bhd. dan Kii Kuang Sing Development Sdn. Bhd.
TYM Construction Sdn. Bhd., Jerok Oil Palm Sdn. Bhd. dan Hiong Huat Metal & Aluminium Sdn. Bhd. masing-masing menerima kelulusan lot industri seluas 0.3 ekar, manakala Kii Kuang Sing Development Sdn. Bhd. menerima lot seluas 0.39 ekar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembukaan Taman Perindustrian Sri Aman dijangka merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Bahagian Sri Aman, khususnya Bandar Simanggang, melalui penyediaan ruang perniagaan yang lebih kondusif kepada sektor industri dan perusahaan.
“Pembukaan Taman Perindustrian Sri Aman merupakan satu langkah strategik untuk merancakkan pembangunan ekonomi Bahagian Sri Aman.
“Penyertaan syarikat-syarikat tempatan diyakini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh pertumbuhan sektor industri di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan itu, di sini hari ini.
Menurut beliau, penyertaan syarikat tempatan dalam taman perindustrian itu bukan sahaja berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat, malah mampu meningkatkan aktiviti ekonomi serta memperkukuh kerjasama strategik antara sektor swasta dan kerajaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pembangunan kawasan perindustrian tersebut akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan baharu, sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan yang dirancang oleh kerajaan Sarawak.
-FN




