
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ USK Karate
LABUAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Pasukan USK Karate dari Labuan melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul lima pingat emas, 10 perak, dan 10 gangsa dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa MILO ke-25 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.
Presiden USK Karate Aswadee Taba berkata kejohanan itu menyaksikan pasukan berkenaan menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan daripada lebih 60 pasukan bertanding, membabitkan penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Atlet wanita menyerlah apabila menyumbang majoriti pingat emas menerusi Sarifin Tan Pui Thung (Kumite Wanita Senior -55kg), Sam Hiang Fong (Kumite Wanita Senior +68kg), dan Syarulniza Abdul Jamil memenangi dua emas dalam kategori Kumite Wanita Senior -61kg dan kategori berprestij Best of the Best Female Kumite selain pingat emas diraih oleh Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi dalam kategori Kata Lelaki 10-11 Tahun.

Best of the Best Female Kumite Syarulniza (kanan) melepaskan tendangan kepada lawan.
“Bagi kutipan 10 pingat perak, ia disumbangkan oleh barisan atlet muda dan senior, termasuk acara Kata Berpasukan Lelaki, Kata Berpasukan Kadet & Remaja, serta Kumite Berpasukan Wanita Senior,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, 10 pingat gangsa pula disumbangkan menerusi pelbagai kategori individu dan berpasukan termasuk sumbangan berganda daripada Muhammad Adil Mohd Badruddin dalam kategori Kata Lelaki Senior dan Kumite Lelaki Remaja -68kg.
“Pencapaian cemerlang di salah sebuah kejohanan karate terbesar di Malaysia ini menjadi satu lagi peristiwa penting buat Pasukan Karate USK untuk terus memburu kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, kejohanan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records sebagai Kejohanan Karate Terbesar di Malaysia dengan penyertaan tertinggi iaitu melebihi 1,800 orang peserta.
-RI




