
Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan)/KKPB
KUANTAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 42 peserta termasuk 15 pelajar Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) menyertai Program A.L.P.H.A (Anak Muda Pemacu Harapan Aspirasi) dan Kem Perkasa @ Belia MADANI di Taman Agroteknologi MARDI, Cherating.
Program tiga hari hari yang berakhir kelmarin itu dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membentuk jati diri belia melalui aktiviti kepimpinan, pembinaan sahsiah, kerja berpasukan serta pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah.
Seorang peserta, Muhammad Azim Abdul Shukor, 19, berkata penyertaannya meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah selain memberi pengalaman berharga, khususnya melalui aktiviti perkhemahan dan unggun api di tepi pantai yang berjaya memupuk semangat kerjasama.
“Program ini membuka mata saya tentang pentingnya peranan golongan belia sebagai ejen pencegahan dadah. Selain memperoleh pengalaman baharu, saya juga lebih yakin untuk menyampaikan mesej antidadah kepada rakan-rakan dan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan belia yang bebas dadah, berintegriti serta bersedia menjadi pemacu aspirasi negara.
-FN




