
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Cassidy Lisut (Bau)
BAU, 1 Julai (MalaysiaAktif) – Upacara Morun Kasah iaitu penutupan sambutan Gawai masyarakat Bidayuh terus menjadi wadah memelihara warisan budaya, menyemai nilai kesyukuran serta mengekalkan adat dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Dalam bahasa Bidayuh, Morun Kasah membawa maksud penutupan Gawai yang menandakan berakhirnya musim perayaan selepas hampir sebulan masyarakat menyambut Hari Gawai bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
Upacara yang diraikan dalam suasana meriah di Bidayuh Cultural Centre Bau (BCCB) semalam turut melambangkan kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan selain menjadi wadah mengukuhkan silaturahim dalam komuniti.
Pemimpin masyarakat Bidayuh Pemanca Robert Tom Juin, 64, berkata Morun Kasah bukan sekadar acara penutup perayaan, malah menjadi lambang kesyukuran kepada Tuhan atas hasil tuaian dan rezeki sepanjang tahun.
“Morun Kasah mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah komuniti bukan hanya terletak pada kemajuan, tetapi juga pada keupayaan memelihara adat, menghormati warisan nenek moyang dan mewariskannya kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Robert berkata program berkenaan menghimpunkan penduduk daripada pelbagai peringkat usia yang mengenakan pakaian tradisional Bidayuh, sekali gus menyerlahkan keunikan identiti dan kekayaan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata penglibatan aktif masyarakat dalam penganjuran Morun Kasah membuktikan warisan budaya terus hidup melalui amalan dan penghayatan generasi masa kini.
Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk persembahan kebudayaan, tarian tradisional, nyanyian, jamuan masyarakat serta aktiviti kemasyarakatan yang menyemarakkan sambutan dan menghidupkan semangat kebersamaan.
Penganjuran Morun Kasah bukan sahaja bertujuan mengekalkan adat resam masyarakat Bidayuh, malah menjadi medium memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada generasi muda serta pengunjung luar agar warisan tersebut terus dipelihara.
Selain meraikan penutupan Gawai, program itu turut mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang sentiasa menghormati budaya dan kepercayaan antara satu sama lain.
-RJ-




