
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
MUKAH, 1 Julai (MalaysiaAktif) – Penganjuran Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga menjadi platform penting dalam menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada golongan muda menerusi pendekatan pendidikan yang interaktif serta berteraskan pembangunan sahsiah.
Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pada program itu para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menekankan aspek kepimpinan, disiplin, kerja berpasukan, pembentukan jati diri serta nilai murni bagi melahirkan individu yang bertanggungjawab dan berdaya saing.
“Program Permata Keluarga yang diadakan serentak turut memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam membentuk anak-anak yang berakhlak mulia serta bebas daripada pengaruh dadah dan gejala sosial,” katanya.
Royston berkata usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti, selain pendidikan pencegahan perlu diterapkan sejak usia muda supaya anak-anak mampu membuat keputusan yang bijak apabila berdepan pelbagai cabaran.
“Pendidikan awal berkaitan bahaya dadah amat penting bagi melahirkan generasi yang berdaya tahan, berintegriti dan memiliki nilai kepimpinan tinggi,” katanya ketika menyempurnakan majlis itu di sini semalam.
Kem selama dua hari yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun itu dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah dengan kerjasama SKUAD Antidadah Negeri Sarawak, Saberkas Cawangan Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Ajakcut dan Pejabat Pendidikan Daerah Mukah.
Seramai 100 murid Tahap Dua daripada sembilan buah sekolah di Bahagian Mukah menyertai program yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak, di sini.
-RJ-




