
Laporan/foto: Hamidah Len/Farah Sidin (Sabah)
KOTA KINABALU, 1 Julai (MalaysiaAktif)– Pelajar Sekolah Menengah Maktab Sabah, Alexa Elayndra Adrian Validy mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Delegasi Terbaik pada persidangan Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) di Bangkok, Thailand.
Biarpun baru berusia 15 tahun, pelajar tingkatan tiga itu mampu membentangkan perbahasan bertajuk Memelihara Warisan Ilmu Perubatan Tradisional Pribumi Melalui Pengesahan Saintifik dihadapan pakar serta pengkaji antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian luar biasa itu adalah hasil disiplin, persediaan awal serta komitmen tinggi beliau dalam memahami isu global sebelum melangkah ke arena persidangan yang lebih tinggi.
“AYIMUN memberi saya pendedahan sebenar dunia diplomasi. Ia satu langkah lebih dekat untuk saya mencapai cita-cita menjadi diplomat.
“Persediaan selama kira-kira tiga bulan merangkumi kajian mendalam terhadap dasar negara, isu global serta rujukan daripada sumber antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Saya perlu memahami bukan sahaja topik, tetapi juga perspektif negara yang diwakili termasuk data dan polisi mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaAktif hari ini.
Beliau turut menyifatkan sesi committee AYIMUN sebagai antara cabaran terbesar dalam persidangan tiga hari itu apabila perlu berhujah secara spontan di hadapan lebih 50 delegasi antarabangsa.
“Topik tersebut menuntut keseimbangan antara nilai warisan, etika budaya dan pendekatan saintifik moden yang menguji keupayaan peserta dalam berhujah secara kritikal di peringkat antarabangsa.
“Itu pengalaman yang benar-benar menguji keyakinan, ketahanan mental dan pemikiran kritikal saya,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.
Kejayaan di Bangkok itu melengkapkan pencapaian Alexa dalam siri AYIMUN selepas sebelum ini meraih pengiktirafan Honourable Mention dan Best Position Paper, menjadikannya anugerah keempat sepanjang penyertaan beliau.
Sementara itu, ibunya, Leydra Philip Felix, 42, berkata Alexa didedahkan kepada pelbagai platform akademik dan kepimpinan sejak awal termasuklah dalam pertandingan peringkat antarabangsa seperti ASMO, HIPPO dan ICAS selain daripada pengalaman awal Model United Nations secara dalam talian sebelum ke peringkat fizikal.
“Pendedahan awal dengan peserta dari pelbagai negara telah memberikan pendedahan awal kepada platform pertandingan berbentuk simulasi dalam aspek diplomasi antarabangsa.
“Persediaan kali ini turut melibatkan kajian menyeluruh menggunakan sumber akademik seperti ResearchGate, Google Scholar serta platform carian jurnal lain selain daripada laman web rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Beliau sangat konsisten dan berdisiplin dalam persediaan. Dalam masa yang sama, kami pastikan tekanan tidak membebankan,” jelas Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah itu.
Di luar pentas akademik, Alexa juga aktif sebagai ketua pengawas serta menyerlah dalam bidang seni muzik dengan penguasaan sape, violin dan ukulele.
AYIMUN dianjurkan oleh International Global Network (IGN), sebuah organisasi yang memfokuskan pembangunan belia melalui program bertaraf global bagi memupuk kerjasama dalam bidang perniagaan, teknikal, kebudayaan dan pembangunan sosial, di samping mengasah kemahiran kepimpinan, diplomasi serta rundingan dalam simulasi Model United Nations (MUN).
-RJ-




