
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/FB KV PertanianTeluk Intan
TELUK INTAN, 2 Julai (MalaysiaAktif) – Kolej Vokasional (KV) Pertanian Teluk Intan muncul sebagai KV pertama di Malaysia menerima sijil Amalan Akuakultur Baik (Malaysia Good Aquaculture Practices – myGAP).
Pengiktirafan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) itu berdasarkan amalan akuakultur yang baik merangkumi aspek pengurusan ladang, biosekuriti, keselamatan makanan, kebajikan ternakan dan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DOF Datuk Azahari Othman berkata pencapaian itu mempunyai kelebihan tersendiri sebagai KV pertama yang berjaya dianugerahkan pensijilan myGAP.
Ia katanya membuktikan pelaksanaan amalan akuakultur baik akan diterapkan secara terus dalam ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional.
“Ucapan penghargaan yang tidak terhingga juga diberikan kepada kerajaan negeri Perak atas sokongan berterusan terhadap sektor perikanan dan akuakultur melalui peruntukan RM100,000 bagi penaiktarafan Bangunan Hatcheri Air Tawar Unit Akuakultur, KV (Pertanian) Teluk Intan ini.
“Sokongan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan keupayaan institusi latihan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Hatcheri Air Tawar Unit Akuakultur dan Penyerahan Sijil myGAP kepada KV (Pertanian) Teluk Intan, di sini kelmarin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia Ts. Rosli Sha’ban berkata kejayaan ini merupakan simbol kemajuan pendidikan TVET dalam bidang akuakultur serta bukti kukuh kerjasama strategik yang terjalin antara bahagiannya dengan Jabatan Perikanan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perikanan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan pencapaian ini amat signfikan kerana ia membuktikan bahawa institusi TVET kita mampu memenuhi standard amalan akuakultur yang baik, berkualiti dan diiktiraf oleh pihak berkuasa,” katanya.
Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Perak Mohd Ghazali A. Manap dan Ketua Pegawai Daerah Hilir Perak Muhammad Amin Safie.
-FN




