Skip to main content
Berita TempatanSarawak

JKDM Rampas Rokok, Minuman Keras Seludup Bernilai RM1.21 Juta

By 40 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)

SIBU, 2 Julai (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Penguatkuasaan Stesen Sibu dan Sarikei menumpaskan sindiket penyeludupan rokok serta minuman keras tidak berkastam menerusi empat serbuan berasingan yang membawa kepada rampasan bernilai RM1.21 juta termasuk duti dan cukai, bulan lepas.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata operasi pada 5 dan 6 Jun lalu menyasarkan beberapa buah rumah tidak berpenghuni di sekitar Sibu yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barangan seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Dalam serbuan pertama pada 5 Jun kira-kira pukul 7.15 malam di sebuah rumah di Lorong Lilin, JKDM merampas 7,184.64 liter (l) minuman keras bernilai RM189,154.11.

“Serbuan kedua pada hari sama kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Lorong Quarry pula menemukan 7,286.40l minuman keras bernilai RM189,655.88,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata operasi diteruskan keesokan harinya kira-kira 1 pagi dengan JKDM Stesen Sarikei berjaya merampas 490,000 batang rokok dan 16,751.76l minuman keras di sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang dengan nilai keseluruhan RM812,986.71.

“Setengah jam kemudian, satu lagi serbuan di sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah membawa kepada rampasan 855.36l minuman keras bernilai RM22,263.95,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan import atau barang tidak berkastam.

-FN

Tinggalkan komen anda