
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
BATU PAHAT, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Kampung Istana berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan menerusi pemerkasaan ekonomi digital serta penambahbaikan kemudahan komuniti.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Komunikasi (KK) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membantu usahawan tempatan memanfaatkan platform digital bagi mempromosikan sektor ekopelancongan.

Fahmi meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk Kampung Istana, Batu Pahat
“Capaian internet yang lebih baik bukan sahaja dapat menyokong pembangunan sektor ekopelancongan, malah membuka peluang kepada golongan muda menjana pendapatan serta merancakkan ekonomi setempat tanpa perlu berhijrah ke kawasan lain.
“Hasil perbincangan bersama ketua kampung dan belia, saya melihat Kampung Istana mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan, khususnya dengan kewujudan laluan ke Bukit Banang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pelaksanaan projek menaik taraf balai raya dan projek-projek berkaitan Kampung Angkat MADANI (KAM) Kampung Istana, di sini hari ini.
Kampung berkenaan merupakan KAM bagi Ketua Setiausaha KK Datuk Abdul Halim Hamzah sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar.
Beliau berkata beberapa kemudahan termasuk balai raya akan dinaik taraf untuk kegunaan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau berharap peralatan yang disalurkan kepada pihak kampung dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan Kampung Istana kekal bersih dan indah.
-FN




